Tambak Johor merekodkan ribuan kemasukan rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam tadi pada jam 12 tengah malam sehingga kini.
Menurut Berita Harian, lebih separuh daripada rakyat Malaysia yang merentas masuk ke Malaysia melintas tambak sejauh 2.5 kilometer (km) dengan berjalan kaki dan berbasikal.
Barisan kereta dan motosikal juga dilihat mula berbaris beberapa jam sebelum sempadan dibuka sehingga menyebabkan Tambak Johor mengalami kesesakan yang teruk.
Laungan Allahuakbar dan lagu Negaraku dinyanyikan rakyat Malaysia yang melintas Tambak Johor dapat didengari ratusan keluarga yang menunggu dengan penuh sabar di susur keluar Tambak Johor. Malah, ramai yang dilihat menitiskan air mata.

Penyelia tapak pembinaan di Singapura, Fajrul Rizal Abu Bakar berkata rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura merindui suasana kesesakan lalu lintas di Tambak Johor seperti dilalui sebelum pandemik melanda pada 2020.
Menurutnya, beliau terkandas di Singapura sejak dua tahun lalu bermula 18 Mac 2020 dan telah merindui keluarga dan tanah airnya sejak itu.
“Saya dan ribuan rakyat Malaysia yang terkandas tidak bersedia dari segi mental dan fizikal apabila sempadan ditutup.
“Pada mulanya, kami beranggapan sempadan ditutup hanya untuk dua minggu. Namun, berita pembukaan sempadan masih tidak diumumkan walaupun sudah lebih dua minggu sehinggalah berita gembira pengumuman pembukaan sempadan pada 24 Mac lalu,” katanya.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari sebelum pandemik bermula dan jumlah yang sama dijangka akan merentasi sempadan mulai hari ini.
Jumlah rakyat Malaysia yang merentas Tambak Johor itu dijangka berterusan dengan gelombang paling besar dijangkakan pada minggu pertama sempadan itu dibuka.
Ikuti perkongsian daripada Laichikang untuk lebih berita menarik.