“Saya Rasa Dunia Sepi,” Raisuddin Hilang Kata-Kata Selepas Tahu Siti Sarah Sudah Tiada

Sebaik sahaja menerima berita duka tentang pemergian anak tercinta, Siti Sarah ke Rahmatullah, dunia Raisuddin Hamzah bertukar menjadi sepi secara tiba-tiba.

Menurut Raisuddin, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kepiluannya melepaskan pujaan hatinya itu untuk kembali ke sisi Allah SWT.

“Dunia ini sesepi-sepinya, itulah yang boleh jelaskan perasaan saya. Tiada kata-kata lain yang boleh menjelaskan kedudukan saya selain sepi,” ujar Raisuddin semasa menjawab soalan media sebaik selesai majlis bacaan Yasin dan tahlil buat Allahyarham Siti Sarah menerusi aplikasi Zoom pada Selasa malam.

Ini adalah kali pertama Raissuddin yang juga merupakan seorang penyanyi terkenal suatu ketika dahulu sekitar tahun 1980-an berkongsi perasaannya dengan wartawan selepas 24 jam anak tercintanya menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa hari bertarung nyawa berikutan jangkitan wabak Covid-19.

Menurut Raisuddin lagi, masih jelas dalam ingatannya bagaimana menantunya, Shuib datang melutut dan memberitahu tentang khabar duka ini dalam nada yang cukup tenang.

“Shuib datang ke bilik saya dengan senyum. Shuib duduk berlutut depan saya dan beritahu dia mahu ke hospital dan berkata… Siti (Sarah) dah tak ada abah,” cerita Raissuddin dalam nada sebak.

Meskipun sangat sukar untuk menerima kehilangan ini, Raisuddin tetap berlapang dada menerima ketentuan qada dan qadar.

“Dia seorang anak yang cukup baik, tak pernah bantah, tak pernah lawan cakap saya, ikut apa sahaja saya cakap… dia juga anak yang sangat manja,” kata Raissuddin.

Tambahnya lagi, Siti Sarah akan kekal di sanubarinya sebagai anak yang soleh dan telah banyak memberi kegembiraan bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada seluruh masyarakat.

“Apa yang saya harapkan, marilah kita sama-sama mendoakan dia, doakan Siti Sarah agar dia tenang di sana,” ujarnya.

Untuk rekod, penyanyi terkenal tanah air itu menghembuskan nafas terakhir pada 5.13 pagi Isnin di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, sekitar jam 1.20 tengah hari Isnin.

Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan sama dengan ibunya, Allahyarham Noor Aini Mohamad yang menghadap Ilahi pada 26 Jun 2013 akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts