Lelaki Berusia 20 Tahun Ini ‘Kantoi’ Menyamar Jadi Doktor Di PPV

Seperti ramai yang sedia maklum, program vaksinasi kini sedang giat dijalankan di seluruh Malaysia bagi meletakkan titik noktah terhadap penularan wabak Covid-19. Ramai kakitangan yang terlibat dalam memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar. Walau bagaimanapun, ada seorang lelaki berusia 20 tahun didapati menyamar sebagai seorang doktor di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) yang bertempat di Kuching, Sarawak.

Menurut laporan Malaysiakini, tertuduh didapati menyamar sebagai seorang doktor Hospital Umum Sarawak sekurang-kurangnya sebanyak 32 kali sejak 16 Jun sehingga 1 Julai lalu.

Difahamkan, lelaki itu turut memiliki cop, kad nama, peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan dan kelengkapan sendiri yang lain.

Sebaik sahaja membuat pertanyaan awal di PPV Stadium Perpadian, tertuduh dikatakan pergi sekali lagi PPV berkenaan pada 16 Jun dan mendakwa dirinya telah menerima kebenaran daripada orang atasan untuk bekerja di situ.

Tembelang lelaki berkenaan akhirnya pecah apabila dia menimbulkan keraguan semasa berbual dengan doktor lain di mana dia memberitahu yang dia baru berusia 20 tahun pada 22 Jun 2021.

Ketika disoal oleh pihak polis, tertuduh memberitahu yang dia berbuat demikian kerana minatnya yang mendalam dalam dunia perubatan dan dia banyak mempelajari ilmu itu secara dalam talian.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tertuduh ada memberikan suntikan vaksin atau melakukan prosedur perubatan yang lain. Siasatan polis juga mendapati tertuduh memiliki pas palsu sebagai kakitangan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Memandangkan tertuduh berusia di bawah 21 tahun, tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu laporan akhlak dikeluarkan. Kes berkenaan dijadual disebut di mahkamah majistret pada 17 Ogos ini dan akan didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts