Bakal Jadi Tarikan Chow Kit Road, Lukisan Mural Wajah Sudirman Akhirnya Siap

Masih ingat akan Sudirman? Allahyarham Dato’ Sudirman bin Arshad atau lebih dikenali sebagai Sudirman ialah seorang penyanyi dan penghibur yang ikonik. Beliau dikenali sebagai penghibur nombor satu Asia pada tahun 1989. 

Terbaru, sebuah lukisan mural yang dipanggil Legend of Sudirman telah dilukis di dinding bangunan di lokasi konsert Chow Kit Road, Kuala Lumpur. 

Pelukis mural, Syamsul Haffiz Addenno bersama dua lagi rakan pelukis terpilih untuk menjayakan projek Chow Kit Art Sanctuary yang diusahakan oleh Adzarul Buqary.

Syamsul berkata, dia bertuah dapat melukis lukisan wajah ikonik, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang dimulakan sejak pertengahan Januari lalu dan akhirnya siap semalam.

“Saya sendiri seperti tidak percaya lukisan mural ini dapat disiapkan. Ada dua lagi lukisan mural membabitkan pelukis lain akan dimulakan, tidak lama lagi.

“Melihat hasil kerja sendiri, saya seronok kerana kawasan Chow Kit tidak banyak lukisan mural dilukis. Jadi, ini mungkin permulaan baik untuk menjadi tarikan ramai,” katanya.

Syamsul sangat bangga dengan projek berkenaan

Menurut Syamsul, dia menghadapi pelbagai cabaran dan keterujaan dalam penghasilan lukisan itu. Terutamanya kerana dia menyiapkannya seorang diri. 

“Segala kepenatan dan cabaran berbaloi melihat lukisan mural tersergam jadi pandangan orang ramai,” sambungnya lagi.

Katanya, projek lukisan wajah ikonik itu dilihat dapat mengenangkan masyarakat tentang penghibur yang sudah genap 30 tahun disemadikan. 

Bercerita lanjut, Syamsul berterima kasih kepada Adzarul Buqary kerana telah memilihnya untuk menjayakan projek tersebut.

“Selepas tujuh tahun menjadi pelukis sepenuh masa, lukisan ini tentunya menjadi kenangan bermakna dalam kerjaya saya,” katanya.

Lukisan wajah ikonik arwah Sudirman itu antara projek di bawah tajaan Pemulihan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA), My Creative Venture dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Nak baca kisah lebih menarik? Ikuti perkongsian daripada Laichikang.

Total
4
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts